Hamba ALLAH swt yang Luarbiasa !

8 Ogos 2013, 1 Syawal, Khamis

#syawal yang terlalu sebak

“Sayu hati ini makin sayu..rindu mengenangkan desa permai..”

          Awal pagi lagi aku sudah menititskan airmata. Cuma aku sendirian yang menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama Nek Tih. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, aku bergegas pulang ke rumah Nek Tamtih (keluarga sebelah Puan Mama). Sudah menjadi rutin tiap kali Aidilfitri, aku akan bersalam-salaman dengan Nek Tam juga Nek Tih. Wajah tua itu kini semakin lemah. Selesai bersalaman, aku mencium wajah tua itu. Ya Allah, bagaimanakah hari tua ku nanti sekiranya Engkau mentakdirkan aku menjalani masa tua ku kelak. T_T

          Sementara menunggu ketibaan keluargaku yang akan bertolak dari rumah, aku membantu Nek Tih menyediakan kuih raya. Ku lihat botol-botol yang dipenuhi kuih raya masih belum dipindahkan ke bekas khas untuk dihidangkan kepada tetamu. Aku segera meringankan tulang untuk membantu Nek Tih. Tidak lama kemudian, datanglah saudara mara ke rumah Nek Tamtih untuk beraya. Aku hanya membantu apa yang patut, untuk mengurangkan beban Nek Tam dengan Nek Tih. Sejurus selepas itu, keluarga ku tiba. Aku kaku. Aku berasa terlalu berat bila berhadapan dengan mereka. Aku mula terkenang pelbagai peristiwa yang mengguris luka di hatiku. Luka yang masih belum sembuh dan memerlukan masa yang lama untuk kembali seperti hati yang dulu. Airmata ku mencurah laju tetapi ku sembunyikan. Ku kesat menggunakan lengan baju. Ya, aku hati batu! Aku berdepan dengan mereka dan bersalaman. Selepas selesai bersalaman tanpa perasaan, aku seperti biasa berpura-pura menyibukkan diri di dapur. Ya, aku terlalu banyak makan hati dengan ahli keluarga sendiri. Ya Allah, berdosakah dengan perasaan yang ku alami ini? Aku berusaha untuk bertahan dan tetap tabah namun kadangkala airmata ini menitis juga bila berdepan dengan krisis ini. Krisis lah sangat kan. Haha.


          Aku masih teringat saat membeli persiapan Hari Raya pada Ramadhan lalu. Aku tidak mempunyai rasa teruja untuk meraikan Hari Raya. Aku dihimpit pelbagai rasa. Rasa bersalah kepada saudaraku di negara bergolak seperti Mesir, Syria, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand yang berhadapan dengan kesayuan serta  kekurangan. Rasa bersalah yang teramat bila aku di sini mampu bergelak ketawa dan menikmati pakaian serta juadah mewah sedangkan mereka di sana dihimpit rasa susah. Namun, ku cuba sembunyikan perasaan tersebut, kalau lah aku mampu ke sana memeluk mereka, membantu mereka untuk terus survive. Namun, tidak. Hanya doa yang mampu ku titipkan dalam solatku. Hanya doa yang mampu ku hadiahkan kepada mereka. Aku harus berjihad menjaga Inche Baba dan Puan Mama serta ahli keluargaku.

          Setelah beberapa jam di rumah Nek Tam dan Nek Tih, kami mula bergerak menuju ke tanah perkuburan. Eyang. Aku kembali teringatkan wajah yang ku rindui itu. Perjalanan yang mengambil masa selama setengah jam telah membawa aku dan keluarga ke pusara Eyang. “Eyang..Aku datang..Cucu Eyang datang melawat Eyang..” Dadaku mula sebak, namun aku tidak boleh menitiskan airmata. Aku tahan. Aku kesat kembali mataku yang kian berkaca menakung airmata. Ku duduk bersama ahli keluarga lain dan mengeluarkan Buku Yaasin. Ku genggam erat. “Apa khabar Eyang di sana..Cukupkah doa yang ku kirimkan..Bagaimana keadaan Eyang di sana..” Ya Allah, ampuni dosa-dosa Eyang, semoga kami dipertemukan di syurgaMu kelak. Amin. Kami membaca surah Yaasin secara berjemaah dengan diketuai oleh Pak Cik ku. Akan ku rindukan suasana ini. Saat semua anak dan cucu Eyang berkumpul bersama mendoakan Eyang di sana. Allahumaghfirlahu warhamhu.

Oklah, setakat ini nukilan syawwal ku. Nanti bertambah sebak pula bila dikenang. Alahai Syawwal.


No comments:

Post a Comment